Monday, January 18, 2010

AIR MATA KASIH DITANAH SUCI


Aku tiba-tiba kaya dengan air mata
kerana aku menjadi tetamu Yang Maha Esa
terharu menyahut seruan-Nya
bersyukur telah selamat menjijakkan kaki
di Tanah Suci
dikurniakan terus sepotong tenaga
untuk disambut Mina dan Arafah
bergetar urat nadi kerana berasa terlalu kecil
di tengah-tengah jutaan tetamu-Nya
yang setia
dari seluruh pelosok dunia
apabila mula berwukuf di Arafah
bermula dari mentari
yang tergelincir lesu dan sayu
sabar singgah bermalam di Muzdalifah
yang juga tak pernah mengantuk
dan bersemangat melontar jamrah
bermula di tiang Aqabah
serta bercukur penuh kerelaan
tabah bertawaf ifadah dan bersai
terkenangkan kasih seorang wanita mulia
bernama Siti Hajar, isteri nabi besar
terlari-lari tanpa kenal erti lelah
dari Marwah ke Safa dan dari Safa ke Marwah
demi cintakan Ismail
anakandanya yang tersayang
yang lapar dan dahaga
kemudian melontar jamrah lagi
di Ula, Wustha dan sekali lagi
di Aqabah tanpa jemu
sebelum bertawaf wadak
sebelum berat meninggalkan Tanah Suci
yang sudah aku jatuh cinta pandang pertama
dan aku bulat berdoa di depan Kaabah
juga di Masjidil Haram
jika diizinkan-Nya, aku ingin kembali lagi
kerana bunga kasihku
sudah terkembang harum di sini
di Tanah Suci yang indah ini
yang puncaknya aku kenal erti
sebuah pengorbanan.


Mengucapkan Selamat Kembali keTanah Air kepada Haji Khairuddin bin Mat Yusof dan Isteri

No comments:

Post a Comment